KUCHING, 28 Apr: Affin Bank Berhad mengukuhkan komitmen untuk menjadi peneraju inovasi kewangan di Malaysia dengan menumpukan perhatian khusus kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, kepercayaan pelanggan menjadi asas utama kepada kejayaan bank tersebut sepanjang 50 tahun beroperasi.
“Kepercayaan anda yang tidak berbelah bahagi menjadi pemangkin kepada aspirasi kami, mendorong pertumbuhan kami dan menyumbang kepada kejayaan kami.
“Di Affin, dedikasi kami berlandaskan tiga tonggak strategik iaitu khidmat pelanggan yang tiada tandingannya, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab yang memberi impak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Affin Group 2025 yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, malam tadi.
Wan Razly memberitahu, Affin Bank kini memperkukuh kedudukan melalui beberapa inisiatif strategik termasuk kerjasama eksklusif dengan Marriott Bonvoy untuk memberi pengalaman istimewa kepada pelanggan.
Selain itu, bank tersebut turut memperkenalkan AFFIN Edu-Financing-i iaitu pembiayaan pendidikan dengan kadar serendah 4.75 peratus.
Menurutnya, dalam usaha memperluaskan impak, AFFIN Islamic Bank turut mencatat kejayaan apabila dinobatkan sebagai Best Bank for Islamic Wealth Management Solutions di Cambridge Islamic Funds Awards 2025, memperlihatkan komitmen terhadap inovasi dalam bidang kewangan Islam.
Dalam pada itu, Wan Razly berkata, sempena ulang tahun ke-50, Affin melancarkan pelbagai kempen pelanggan termasuk cabutan bertuah ‘AFFIN 50 Years, 50 Prizes’ dengan hadiah utama RM1 juta selain promosi eksklusif bersama syarikat penerbangan terkemuka seperti Qatar Airways.
Menurutnya, dengan sokongan padu pelanggan dan rakan strategik, Affin Bank optimis untuk terus melangkah jauhseiring aspirasi Sarawak ke arah ekonomi maju dan mampan. – TVS