MIRI, 27 Apr: Serahan dokumen statutori Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara fizikal di kaunter akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Jun 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, ia berikutan pelaksanaan serah simpan dokumen statutori secara mandatori melalui Malaysian Business Reporting System (MBRS) 2.0 dimulakan secara berperingkat.
“Apa dia teras kepada MBRS 2.0 ini adalah untuk kita melaksanakan sama ada dari segi pendaftaran awal atau pematuhan tadbir urus entiti syarikat perniagaan ini melalui dalam talian berbanding secara fizikal sebelum ini.
“Jadi dengan adanya MBRS 2.0 ini, penyerahan dokumen statutori yang mandatori itu boleh dibuat melalui dalam talian menggunakan platform digital.
“Hasrat kita adalah dengan lengkapnya fasa ketiga bermula 1 Jun 2025 ini, semua penyerahan dokumen statutori ini akan dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia Cawangan Miri di Miri Times Square hari ini.
MBRS 2.0 merupakan sistem serah simpan dokumen statutori yang telah dipertingkatkan berbanding versi asal MBRS.
Sistem tersebut diperkenalkan khusus untuk memudah cara penyerahan penyata tahunan, penyata kewangan, laporan serta permohonan pengecualian secara berperingkat di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat 1965.
Ini merupakan satu langkah penting dalam usaha mendigitalkan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara lebih cekap, telus dan mesra pengguna.
Dengan tersedianya sistem MBRS 2.0, dokumen statutori boleh dihantar secara dalam talian melalui portal rasmi SSM dan platform digital berkaitan. – TVS