KUCHING, 27 Apr: Kek lapis hasil air tangan Zetty Fazila Mohamad Zailani bukan sekadar indah dipandang malah rasanya enak.
Setiap lapisan kek yang dihasilkannya diinspirasi daripada rasa cinta, pengorbanan dan usaha tanpa jemu.
Zetty yang juga merupakan Pengarah Kumpulan ZZ berkata, sejak di usia 13 tahun, minat untuk menghasilkan kek lapis ini sudah sebati dalam jiwanya.
Menurutnya, perusahaan kek lapis merupakan antara bidang diusahakannya selain khidmat pembersihan rumah dan premis pejabat, cucian kereta serta butik pakaian.
“Saya mula berminat untuk menceburi bidang pembuatan kek lapis ini sejak remaja, apabila saya memerhati nenek, makcik serta ibu saya membuat kek lapis ini.
“Resipinya diturunkan kepada saya dan saya guna kreativiti sendiri untuk mengubah resipinya dan mula menghasilkan kek lapis premium,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jom Berambeh Ramah Tamah Aidilfitri 1446H / 2025M di Dewan Masyarakat Taman Sepakat Jaya di Kuching pada Ahad.
Menurutnya, untuk mengurus dan menjalankan perniagaan kek lapis bukan tugas mudah kerana pelbagai cabaran perlu ditempuh.
“Cabarannya adalah untuk memastikan kualitinya terjamin selain kita memerlukan kesabaran serta ketelitian tinggi. Pada zaman sekarang, ramai juga yang melibatkan diri dalam pembuatan kek lapis premium, jadi yang pentingnya kek lapis premium yang saya hasilkan mesti dijaga kualitinya,” ujarnya.
Zetty menambah, setiap lapisan kek yang dihasilkannya menggambarkan ketekunan, komitmen, rasa sabar dan ikhlas.
Antara kek lapis yang menjadi pilihan dalam kalangan pelanggan tetap atau baharunya termasuklah Kek Lapis Premium dan Kek Premium Coklat Fudge Mentega 100 peratus Kek Premium Asli, sementara harga kek lapis premium yang dihasilkan Zetty bermula dari harga RM300.00 hingga RM1,500.00 mengikut corak lapisan kek ditempah.-TVS