KOTA SAMARAHAN, 27 Apr: Edisi pertama Samarahan Bridge Half Marathon berjaya menarik penyertaan seramai 842 perserta daripada pelbagai peringkat umur.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, jumlah penyertaan itu melepasi sasaran awal.
Menurutnya, larian hingga ke jambatan ikonik Samarahan itu pertama kali diadakan sekali gus membantu mempromosi bahagian tersebut sebagai destinasi acara sihat.
Katanya, walaupun acara berbentuk larian sering diadakan di Kota Samarahan namun acara larian sehingga ke jambatan ikonik bahagian Samarahan itu pertama kali dianjurkan sekaligus membantu mempromosikan Samarahan sebagai sebuah destinasi acara sihat.
“Ini merupakan program kecergasan yang ditunggu-tunggu sebab kita melihat minat belia masa sekarang. Mereka fokus kepada larian.
“Ini merupakan acara larian yang kita rancang yang bukan sahaja untuk belia malah semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pelepasan perserta Samarahan Bridge Half Marathon 2025 di sini pada Ahad.
Larian tersebut melibatkan tiga kategori iaitu 21 kilometer (KM), 10KM dan larian santai (Fun Run) lima kilometer.
Menurut Rubiah, larian tersebut akan diteruskan pada masa akan datang berdasarkan sambutan positif diterima pada edisi pertama tahun ini.
“Selain menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sukan, ia mampu membentuk masyarakat berbudaya sukan, berdisiplin dan bersatu padu.
“Pada sama sama, ia memberi kesedaran tentang pentingnya menjalankan aktiviti sihat demi meningkatkan tahap kesihatan,” ujarnya.-TVS