KUCHING, 27 Apr: Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Kuching mempunyai perancangan besar membina bangunan baharu di Kuching sebagai pemudah cara pelbagai program dan aktiviti yang dirancang.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Kuching, Dato Mohd Marzuki Mohd Omar berkata, dengan adanya fasiliti itu kelak, ia akan memberi kemudahan bukan sahaja kepada ahli persatuan malah dapat dipanjangkan penggunaannya bagi menyantuni program anjuran agensi kerajaan dan swasta.
“Memanglah harapan dan cita-cita kita ini untuk mempunyai satu bangunan sendiri, pertamanya untuk digunakan sebagai pejabat operasi Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Kuching
“Keduanya boleh disewakan kepada umum untuk menjana pendapatan bagi persatuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dangsanak Baraya 2025 di Kuching pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.-TVS