MIRI, 27 Apr: Agenda Payung Rahmah diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM300 juta berbanding RM200 juta tahun lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bagi meningkatkan bilangan atau siri penganjuran program jualan Rahmah yang kini diperluaskan ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kalau kita lihat statistik untuk Sarawak tahun lalu, sebanyak 1,152 siri program Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan dan untuk tahun ini setakat 26 April, jumlahnya adalah 503 program. Jadi ada lebih kurang Mei hingga ke Disember, kita harap supaya KPDN Sarawak dapat meningkatkan jumlah berbanding tahun lepas.
“Seperti yang saya sebutkan, sebanyak 1,152 program dan antara pendekatannya adalah untuk kita bekerjasama dengan rakan strategik.
“Saya meminta KPDN Sarawak bekerjasama dengan pusat khidmat wakil rakyat untuk mengenal pasti kawasan sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di sini pada Sabtu.
Menurutnya, Kementerian Kewangan mungkin mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan jika mendapat permintaan untuk menambah bilangan program.
“Saya fikir dari segi peruntukan boleh ditambah. Ini kerana ada kawasan seperti di Miri dan Limbang memerlukan peruntukan tambahan untuk penganjuran program,” ujarnya.-TVS