KUCHING, 27 Apr: Selepas dua tahun, Nidji kembali ke Kuching untuk membuat persembahan dalam konsert memukau sekali gus mengubat rindu peminatnya.
Kumpulan terkenal dari Indonesia itu tampil membuat persembahan menerusi Konsert Nidji – Pelangi 2025 di Stadium Perpaduan Petra Jaya.
Nidji memulakan persembahan dengan lagu Disco Lazy Time dan seterusnya mendendangkan 12 lagu popularnya termasuk Laskar Pelangi, Hapus Aku, Sumpah dan Cinta Matiku.
Sepanjang konsert berlangsung, peminat tidak melepaskan peluang menyanyi dan berinteraksi bersama Nidji termasuk menghidupkan lampu telefon pintar sekali gus menerangi kawasan stadium.
Vokalisnya Muhammad Yusuf Nur Ubay atau mesra disapa Ubay mencuri perhatian apabila melaungkan ayat, Kamek Sayang Kitak kepada peminatnya dan turut mengharukan apabila mendoakan kebaikan buat peminatnya.
“Semoga yang datang bersama teman-temanya akan berkekalan persahabatan anda semua,” katanya kepada peminat ketika Konsert Nidji – Pelangi di Kuching 2025 di sini, semalam.
Konsert Nidji di Kuching 2025 menarik kehadiran 3000 peminat dari dalam dan luar Sarawak.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Nidji menjejakkan kaki di Kuching selepas Konsert Borneo SarXIndo di Kampung Budaya Sarawak pada 2023. – TVS