Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Misi memperkasa ekonomi masa depan Sarawak kini melangkah ke peringkat antarabangsa apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memimpin lawatan kerja ke United Kingdom

Misi perkasa ekonomi masa depan Sarawak di UK

KUCHING, 27 Apr: Misi memperkasa ekonomi masa depan Sarawak kini melangkah ke peringkat antarabangsa apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memimpin lawatan kerja ke United Kingdom (UK) bagi memeterai kerjasama dalam bidang semikonduktor, tenaga lestari dan pembangunan bakat.

Memetik laporan Suara Sarawak, Selasa ini delegasi tersebut akan melawat Pusat Inovasi CSA Catapult di Newport yang mana Kerajaan Sarawak menerusi SMD Semiconductor Sdn Bhd dijadualkan menandatangani perjanjian kerjasama dengan tiga pemain utama industri di UK: CSA Catapult, Silicon Catalyst dan 5G3i Ltd.

CSA Catapult merupakan peneraju dalam aplikasi dan pengkomersialan semikonduktor sebatian, Silicon Catalyst ialah inkubator khusus semikonduktor bertaraf dunia manakala 5G3i Ltd ialah penyedia solusi kecerdasan buatan (AI) di peringkat litar.

Pada majlis sama, Sarawak akan memperkenalkan Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 melalui taklimat oleh Pengerusi SMD Semiconductor, Datuk Seri Wanlizozman Wan Omar.

Turut menjadi tumpuan ialah demonstrasi inovasi baharu SMD iaitu prototaip sistem penukar pintar berkuasa AI yang berpotensi besar dalam sektor tenaga, pengangkutan, industri berat serta misi kritikal seperti aeroangkasa, penjagaan kesihatan dan pertahanan.

Lawatan ke CSA Catapult akan disusuli sesi jaringan bersama wakil Kerajaan England, Scotland dan Ireland Utara bagi memperkukuhkan hubungan strategik UK-Sarawak dalam pembangunan industri semikonduktor.

SMD Semiconductor telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CSA Catapult pada April 2024, membuka laluan kepada kerjasama erat antara kedua-dua pihak.

Pada 30 April, Premier Sarawak akan meneruskan lawatan ke Cambridge University Press and Assessment untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang pentaksiran pendidikan dan penyelidikan akademik.

Lawatan itu diteruskan ke London School of Economics and Political Science (LSE) pada 1 Mei bagi sesi meja bulat mengenai kelestarian diikuti pertukaran MoU antara LSE dan Kerajaan Sarawak, menandakan komitmen wilayah ini terhadap agenda pembangunan mampan.

Petangnya, delegasi akan bertemu wakil International Hydropower Association dan Global Renewable Alliances untuk mengukuhkan kerjasama tenaga boleh diperbaharuidan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pembekal utama tenaga hijau di ASEAN.

Kemuncak lawatan ke UK akan diakhiri pada malam 3 Mei dengan sesi Lan Berambeh bersama pelajar Sarawak di UK yang mana beliau akan berkongsi aspirasi pembangunan wilayah ini dan berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa.

Keesokan harinya, delegasi akan bertolak ke Toulouse, Perancis untuk lawatan kerja ke Ibu Pejabat Airbus sebelum meneruskan perjalanan ke Abu Dhabi untuk pertemuan dengan pihak berkuasa pelabuhan dan melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed.

Delegasi Premier Sarawak turut disertai Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta beberapa timbalan menteri lain.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan