Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi ketika berucap pada majlis pelancaran Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini. Foto Julaihi Narawi (FB)

Masyarakat perlu bersaing dengan kepesatan teknologi

KUCHING, 27 April: Masyarakat disaran supaya sentiasa menyaingi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat bagi mengelakkan mereka daripada risiko ancaman siber, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga tidak seharusnya memandang ringan risiko seperti penyebaran maklumat palsu dan manipulasi kandungan yang mampu menggugat keharmonian negara.

“Malah AI kadang-kadang boleh digunakan sebagai usaha yang menyebabkan kes memeras ugut iaitu mungkin gambar kita, mungkin suara kita, tetapi bukan kita yang melakukannya. Jadi, ini antara cabaran yang kita hadapi.

“Bagi mengelakkan sebarang penganiayaan pada masa hadapan, saya percaya bahawa kita mesti mampu menghadapi semua kemajuan ini, yang mempunyai agenda-agenda yang boleh menggugat ataupun menyalahgunakan AI ini… Mereka ini selalunya bergerak pantas dan sentiasa mendahului teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.

Julaihi berkata sebagai langkah awal memastikan penggunaan teknologi AI yang selamat, Kerajaan Pusat telah memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) pada tahun lepas.

Berlangsung selama dua hari sehingga esok, program hari ini dilaksanakan secara fizikal dan hibrid di beberapa lokasi terpilih termasuk CENTEXS sebagai lokasi utama pelaksanaan, selain enam lokasi Hab Inovasi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di seluruh Sarawak melibatkan Serian, Sri Aman, Sibu, Kapit, Mukah dan Lawas.

Program anjuran MCMC itu mendapat kerjasama dan sokongan Microsoft Malaysia serta rakan strategik seperti CENTEXS, SDEC, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Biji-biji Initiative.

Julaihi berkata program berkenaan membuka lembaran baharu dalam agenda pembangunan kepakaran digital di negeri itu, selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digerakkan kerajaan Sarawak.

Ia memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Al, kefahaman mengenai etika penggunaan teknologi dan penerapan kemahiran praktikal sebagai persiapan menghadapi keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar dan berasaskan teknologi.

Dalam pada itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan program yang dilancarkan secara rintis pada Jun 2024 itu berjaya melatih lebih 2,000 individu merangkumi pelbagai latar belakang khususnya golongan rentan.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan di lapan negeri di seluruh negara, antaranya Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Wilayah Persekutuan Labuan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan