Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelaksanaan konsert berskala besar di Sarawak seperti Konsert Nidji - Pelangi di Kuching 2025 memberi impak positif kepada sektor pelancongan. Foto Faitullah Morni (TVS)

Konsert berimpak tinggi pacu pelancongan Sarawak

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 27 Apr: Pelaksanaan konsert berskala besar di Sarawak seperti Konsert Nidji – Pelangi di Kuching memberi impak positif kepada sektor pelancongan wilayah ini kerana mampu menarik kehadiran pelawat dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kuching dan Miri kini menjadi tumpuan pelancong luar yang hadir ke wilayah ini bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga bercuti serta menikmati produk pelancongan tempatan.

“Sekiranya sesuatu acara diadakan di Kuching terutama melibatkan penyanyi atau penghibur yang dikenali masyarakat di negara jiran, kita dapat menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan yang memasuki Sarawak dari sempadan.

“Sebagai contoh, semasa acara countdown tahun lalu, kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu mengalami kesesakan tiga hari berturut-turut. Mereka (pengunjung dari Kalimantan Barat) tahu Hetty Koes Endang akan melakukan persembahan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Konsert Nidji – Pelangi di Kuching 2025 di sini, semalam.

Menurutnya, situasi sama pernah berlaku di Miri semasa Nidji membuat persembahan yang mana ramai peminat dari Brunei Darussalam.

Mengenai perancangan masa depan, Karim berkata, tiga konsert bakal berlangsung di Miri pada Mei yang turut melibatkan artis Indonesia iaitu pada 25 Mei dan dua konsert anjuran TVS serta Astro masing-masing 17 dan 21 Mei di Stadium Tertutup Miri.

“Saya percaya ketiga-tiga konsert ini akan terus menarik kemasukan pelawat dari Brunei,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak kini dalam proses rundingan untuk membawa masuk seorang artis terkenal dari Amerika Syarikat untuk membuat persembahan eksklusif di Kuching pada Oktober.

Sementara itu, Karim berkata, kumpulan legenda Earth, Wind and Fire akan membuat persembahan pada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025.

“Adalah penting untuk menyelitkan penyertaan artis tempatan dalam setiap acara berskala besar sebagai usaha membina keyakinan dan memperkasa bakat industri kreatif tempatan,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan