DEBAK, 27 April: Juruperunding projek pembangunan Wisma Kesejahteraan Komuniti Debak sudah dilantik.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, skop kerja berkaitan projek tersebut kini sedang giat dilaksanakan sebelum dimajukan kepada pihak berkaitan.
“Juruperunding Projek pembinaan Wisma Kesejahteraan Komuniti di Debak telah dilantik dan kerja berkaitan skop projek giat dilaksanakan sebelum dimajukan kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Saribas berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini Projek Pembinaan Wisma Kesejahteraan Komuniti Debak selepas Majlis Penutupan Kursus Pertanian Sistem Fertigrasi Cili dan Terung (APPGM-SDG) anjuran Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) di Debak pada Ahad.
Menurutnya, apabila siap kelak, wisma tersebut akan memberikan manfaat dan impakbesar kepada komuniti setempat.
Untuk rekod, lawatan tapak bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong diadakan pada Jumaat lepas bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek tersebut.-TVS