KUCHING, 27 Apr: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi hari ini menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi.
Upacara yang berlangsung pada Ahad setiap bulan itu dianjurkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Selain upacara menaikkan bendera, turut dilangsungkan perarakan masuk pasukan kawalan kehormat dan pancaragam DBKU.
Upacara menaikkan bendera turut diserikan dengan persembahan khas kumpulan orkestra Prodigy yang mendendangkan lagu medley raya di hadapan 150 tetamu yang hadir.
Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi dianjurkan setiap bulan oleh DBKU sejak Julai tahun lalu bertujuan meraikan kedaulatan dan perpaduan Sarawak yang menjadi lambang kemajuan dan patriotisme.
Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman dan Pengarah DBKU Ramzi Abdillah.-TVS