LIMBANG, 27 Apr: Jasa dan peranan besar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berkhidmat kepada masyarakat sentiasa dihargai kerajaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan sentiasa mengikitraf pengorbanan dan sumbangan bakti anggota APM kepada negara.
Menurutnya, untuk itu, kerajaan sentiasa menambahbaik kelengkapan dan aset menyelamat APM terutama untuk menjalankan operasi termasuk semasa musim banjir.
“Kerajaan sentiasa menambahbaik keperluan, aset dan kelengkapan APM dalam operasi penyelamatan.
“Untuk keperluan pejabat dan aktiviti mahupun keperluan penyelamatan lain, saya menyumbang sebanyak RM10,000 untuk APM Limbang dan gunakan sebaiknya” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri APM Limbang hari ini.
Turut hadir Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang (PA) Kapten Bonnie Madisun.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, kerajaan juga sedang menambah baik aset APM Limbang dalam melancarkan operasi menyelamat pada masa akan datang.
Pada masa ini APM Limbang mempunyai kekuatan aset sebuah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, ambulans, empat bot penyelamat dan kemudahan lain.-TVS