KUCHING, 27 Apr: Kejohanan Renang Antara Sekolah Rendah PASC ke-8 bukan sahaja menjadi medan persaingan merebut pingat tetapi memupuk nilai kesukanan, daya tahan dan semangat berpasukan dalam kalangan lebih 350 perenang muda dari seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, pembangunan atlet muda perlu bermula dengan pembentukan karakter kukuh di luar pencapaian podium.
“Seorang jaguh dunia tidak lahir dalam sehari. Ia bermula dari kolam kecil dan pertandingan seperti ini dan dengan disiplin, kegigihan dan sokongan komuniti yang padu,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan penglibatan aktif dalam sukan pada usia muda mampu membentuk sahsiah, ketahanan mental serta jati diri yang kuat.
Pada majlis itu, Ahmad Ibrahim yang juga Penaung Power Aquatics Swimming Club (PASC) turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM7,000 kepada kelab itu bagi menyokong beberapa program pembangunan sukan akuatik sepanjang tahun ini.
“Sumbangan ini akan membantu pelaksanaan beberapa program penting sepanjang tahun ini termasuk 2nd Inter-Club Swimming Competition, 5th Sarawak Sprint dan 4th Kuching Invitational Water Polo Cup.
“Saya juga menyeru lebih banyak pihak swasta, korporat dan masyarakat umum untuk tampil menjadi rakan strategik dalam membangunkan sukan akuatik di Sarawak kerana kejayaan masa depan memerlukan sokongan bersama,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden PASC, Kapitan Tan Kun Gee berkata, pihaknya komited meneruskan penganjuran kejohanan dan program pembangunan akar umbi bagi memastikan lebih ramai bakat muda dapat digilap secara berterusan.
Kejohanan yang berlangsung selama sehari itu disertai peserta dari pelbagai sekolah rendah seluruh Sarawak dengan suasana penuh semangat kesukanan dan persahabatan. – TVS