MIRI, 27 April: Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) akan menganjurkan Gawai Dayak Bazaar Miri 11.0 Tahun 2025 yang akan berlangsung di Tempat Letak Kereta Permyjaya pada 1 hingga 24 Mei.
Pengerusi Penganjurnya, Jimmy Lawie menyeru seluruh komuniti dan pelawat untuk hadir memeriahkan sambutan tersebut dan bersama menghayati semangat Gawai Dayak.
“Kami berbesar hati untuk menyambut kehadiran semua dalam acara ini, bagi meraikan budaya kita dan mengukuhkan hubungan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Peserta diberi taklimat mengenai peraturan bazar, susun atur kanopi, pengendalian makanan, langkah keselamatan dan jadual aktiviti sepanjang acara berlangsung di Eastwood Valley Golf And Country Club, Miri.
Bazar tahun ini menampilkan 74 kanopi yang mana 20 kanopi diperuntukkan untuk peniaga barangan krakftangan dan perkhidmatan manakala 54 kanopi khusus untuk makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan tradisional dan moden.
“Bazar kali ini lebih meriah dengan pertambahan jumlah kanopi membuktikan sambutan yang semakin menggalakkan daripada peniaga dan pengunjung,” ujarnya.
Pelbagai acara turut diadakan seperti pertandingan nyanyian, pertandingan memasak, permainan tradisional, Pertunjukan Fesyen Buriek dan pertandingan kebudayaan. – TVS