KUALA LUMPUR, 27 April: Pembangunan fasiliti sukan hanya akan dilaksanakan dan dibina di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan atau tanah yang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata langkah itu adalah bagi memastikan pengurusan naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti sukan tersebut terjamin.
Beliau mengambil contoh isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memohon pembinaan sebuah kolam renang di kawasannya, namun tidak diselenggara kerana kerajaan negeri tidak memiliki peruntukan yang mencukupi.
“Sebab itu kementerian telah menghentikan (pembangunan). Kami mahu dapatkan persetujuan hitam putih kerajaan negeri terlebih dahulu untuk menyerahkan tanah tersebut untuk pembinaan atau perlu ada persetujuan antara kementerian dengan PBT atau dengan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Konvensyen Rakan Muda 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu Hannah memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah menghentikan sebarang pembinaan fasiliti sukan di tanah swasta.
Jelas beliau, pembangunan fasiliti di atas tanah persendirian menyukarkan orang awam untuk mengakses kemudahan tersebut, selain menghendaki KBS untuk terus menyelenggara fasiliti tersebut.
“Kementerian tidak boleh menggunakan dana kerajaan untuk menaik taraf fasiliti pihak swasta atau milik persendirian,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu juga sudah kerap kali dibangkitkan di Dewan Rakyat. – TVS