MIRI, 27 Apr: Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub Cawangan Miri hari ini menerima kunjungan wakil Jabatan Pembedahan Hospital Miri sempena Ramah Tamah Aidilfitri.
Pengerusi Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Cawangan Miri, Julaihi Mohamad berkata, kunjungan tersebut bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama-sama anak yatim tetapi mempererat hubungan antara institusi kesihatan dengan badan kebajikan tempatan.
“Kunjungan ini amat bermakna, bukan sekadar hadir untuk menyampaikan sumbangan tetapi juga sebagai tanda sokongan moral kepada anak yatim di sini,” katanya ketika merasmikan Ramah Tamah Aidilfitri bersama anak yatim di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup, Miri, hari ini.
Menurutnya, usaha berterusan mendidik anak yatim selari dengan peranan PERYATIM dalam melahirkan modal insan berguna kepada masyarakat, wilayah dan negara.
“Anak-anak kita bukan sahaja dididik sehingga ke peringkat tingkatan lima, bermula dari umur enam tahun hingga 17 tahun tetapi PERYATIM seluruh Sarawak turut menaja sepenuhnya pendidikan mereka ke tahap tertinggi. Maknanya, kalau mahu melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat PhD sekalipun PERYATIM akan membantu,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Miri, Dr Aminnur Hafiz Maliki.
Bantuan dana berjumlah RM4,650 hasil sumbangan Persatuan Pembedahan Miri dan orang ramai melalui Jabatan Pembedahan Hospital Miri digunakan untuk membeli keperluan asas seperti makanan, pakaian dan barangan elektronik untuk anak yatim di pusat berkenaan. – TVS