MUKAH, 27 April: Salui Lukut Cahaya Kenyalang milik Team Tutus Hilir muncul johan pertandingan Salui Lukut sempena Kaul Mukah 2025 bagi kategori Juara-Juara.
Cahaya Kenyalang menewaskan lima pesaing lain iaitu Gerak Pahlawan di tempat kedua dan Sadiq Sigaraga di tempat ketiga.
Salui Lukut Mukah Sakti, Hari-hari dan Joe King menerima hadiah saguhati.
Team Tutus Hilir membawa pulang Piala Pusingan Salui Lukut Kaul Mukah yang diperkenalkan sejak 2017 seterusnya menyimpan piala tersebut setelah tiga tahun johan berturut-turut.
Pada penganjuran tahun 2023, Team Tutus Hilir menang melalui Salui Lukut Agro Kenyalang, tahun 2024 Salui Lukut Bunga Emas dan tahun ini, Cahaya Kenyalang.
Hadiah kepada pemenang kategori Juara-juara disampaikan oleh Penyelaras Acara Kaul Mukah 2025, Ardyman Matan.
Bagi kategori harapan pula, Salui Lukut Ekan Moha memenangi tempat pertama, Press Metal di kedudukan kedua dan Sri Kelaup berpuas hati di tempat ketiga.
Salui Lukut Puteri Danau 1, Booster 1 dan Putera Dalat membawa pulang hadiah saguhati.
Hadiah kepada pemenang bagi kategori harapan disampaikan oleb Bendahari Persatuan Melanau Mukah, Pengiran Saifuddin.
Pertandingan Salui Lukut Kaul Mukah kali ini disertai 192 peserta daripada penggiat dan peminat Salui Lukut.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Unit SABERKAS Petanak dengan kerjasama Pemuda N57 Tellian, Pemuda N58 Balingian, Pusat Khidmat P213 Mukah dan Armada Generasi Warisan. – TVS