KOTA SAMARAHAN, 27 Apr: Penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi dalam aktiviti kesukarelaan berupaya memberikan pendedahan berguna mengenai senario sebenar dunia di luar kampus.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kemahiran dan pengalaman diperoleh pelajar terlibat menerusi aktiviti tersebut berbeza dengan pengajian secara teori di dalam bilik kuliah.
Menurutnya, untuk merasai situasi sebenar, pelajar perlu didedahkan dengan dunia luar menerusi aktiviti kesukarelaan agar boleh beriteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat.
“Ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pertama kepada mahasiswa itu sendiri kerana apa yang dipelajari adalah satu kemahiran untuk berhubung dengan agensi demi melaksanakan program dan dengan komuniti dipilih.
“Itu memerlukan kemahiran dan ia bukan sahaja penting untuk program ini, kita berharap kemahiran ini kekal dalam diri mereka seterusnya dapat digunakan selepas mereka keluar daripada universiti dan menjadi sebahagian daripada ahli dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program UNIMAS Inisiatif Bakti 2025 di sini pada Ahad.
Fatimah menjelaskan, Program UNIMAS Inisiatif Bakti selari dengan hasrat kerajaan melahirkan profesional yang bukan sahaja memiliki kelulusan akademik tinggi tetapi memiliki kemahiran relevan dengan kehendak pasaran.
Tambahnya, perubahan landskap ekonomi memerlukan setiap graduan mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka berkomunikasi dan bersosial dengan masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-TVS