SARIKEI, 26 April : Semua taman lalu lintas di seluruh negeri ini akan dinaik taraf sebagai sebahagian daripada usaha menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai peraturan dan undang-undang jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perancangan itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan turut merangkumi pembinaan taman lalu lintas baharu di bahagian yang masih belum mempunyai kemudahan tersebut.
“Ketika ini, hanya enam taman lalu lintas yang wujud di Sarawak iaitu di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri. Di Limbang pula, taman yang sedia ada tidak lagi boleh digunakan,” katanya ketika merasmikan Sarawak Traffic Games – Sarikei yang berlangsung di Taman Lalu Lintas Sarikei, hari ini.
Menurut beliau, program kesedaran lalu lintas yang melibatkan penyertaan pelajar dari seluruh negeri ini perlu dilaksanakan secara berterusan dalam jangka masa panjang.
“Oleh kerana kita akan melaksanakan program jangka panjang, maka taman-taman lalu lintas juga perlu ditambah baik dan dilengkapi dengan semua kemudahan termasuk tanda isyarat lalu lintas yang lengkap seperti di jalan raya sebenar. Ini penting supaya para pelajar yang menyertai pertandingan lalu lintas dapat merasai suasana sebenar seperti di atas jalan raya,” tambahnya.
Bagi Taman Lalu Lintas Sarikei, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan kemudahan sedia ada.
Inisiatif menaik taraf dan membina taman lalu lintas ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam mendidik generasi muda mengenai keselamatan jalan raya sejak dari peringkat awal.-TVS