MIRI, 26 April:Kempen derma darah dan peraduan mewarna yang berlangsung di Emart Riam hari ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyemai semangat kesukarelawanan dan kreativiti, malah turut menyerlahkan keharmonian antara kaum dalam kalangan masyarakat Miri.
Ketua Masyarakat Iban Bahagian Miri, Pemanca Alexander Isut Karin menyifatkan sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat sebagai sangat membanggakan.
“Dari segi atur cara program, amat memuaskan. Kita juga mendapat sokongan dari sektor swasta dan dari persatuan-persatuan yang lain juga. Seperti yang kita lihat hari ini, banyak persatuan yang terlibat, bukan sahaja persatuan Dayak,” katanya ketika ditemui TVS di Emart Riam di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan kehadiran pelbagai agensi termasuk Tabung Darah, Curtin University dan penyertaan pengunjung yang hadir secara walk-in, memperlihatkan kesedaran tinggi terhadap amalan menderma darah.
“Sambutan sangat baik. Ini bukan sahaja persiapan menjelang sambutan kemuncak Gawai, malah menjadi contoh bagaimana kita boleh bersatu melalui aktiviti komuniti,” tambahnya.
Selain menyemai semangat kesukarelawanan dan integrasi budaya, program sebegini turut mencerminkan identiti Sarawak sebagai negeri yang berbilang kaum, namun kekal erat dalam nilai perpaduan.
Tambahnya, program komuniti seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan tidak terhad kepada satu-satu perayaan atau kaum sahaja.
“Kami berharap program seperti ini boleh dijadikan acara tahunan… bukan sahaja semasa Hari Gawai, tetapi juga semasa hari perayaan yang lain dan terbuka untuk semua lapisan masyarakat juga,” ujarnya.
Majlis turut dimeriahkan dengan peraduan mewarna melibatkan penyertaan kanak-kanak sekolah rendah yang hadir bersama keluarga, menjadikan Emart Riam pusat tumpuan komuniti sejak awal pagi.
Program anjuran Jawatankuasa Perayaan Hari Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri itu diadakan sebagai pembuka tirai kepada sambutan rasmi yang bakal berlangsung pada 24 Mei nanti di Hotel Meritz. Ia juga menjadi medan memperkukuh silaturahim pelbagai lapisan masyarakat menjelang perayaan tersebut. -TVS