KUCHING, 26 April: Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus berkolaborasi secara strategik untuk memperkasakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif, dengan fokus utama pada pembangunan sosial dan ekonomi warga setempat.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang, berkata inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kehidupan komuniti melalui lapan bidang utama KRT Progresif, termasuk ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan sosial, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya, serta daya cipta.
Jelasnya, peranan KRT Progresif amat penting dalam membentuk warga setempat yang lebih berdaya-saing dan ke hadapan.
“Tahun lalu kita memperoleh peruntukan berjumlah RM20 juta dan tahun ini pun kita berjaya mendapatkan jumlah peruntukan yang sama yakni RM20 juta.
“Kita dapat memperkasakan 169 KRT Progresif dengan menggunakan peruntukan yang diagihkan pada tahun lalu. Kita memberi tumpuan untuk memperkasakan segmen ekonomi dan sara hidup dan menerusi maklum yang diterima, banyak aktiviti-aktiviti yang direncana berjaya dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Aidilfitri Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Penview, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Aaron bersama-sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak, Dirwana Azool menyantuni lebih 1,000 tetamu yang hadir pada program yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Sarawak itu.-TVS