SIBU, 26 April: Pelajar Kolej Vokasional digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai usaha penting menyokong pembangunan Sarawak, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Menurutnya di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dalam sektor-sektor baru seperti tenaga hidrogen, pengangkutan pintar, dan industri aeroangkasa.
“Ini peluang emas untuk para pelajar menceburi bidang TVET dan membina kerjaya yang stabil. Namun, kejayaan tidak akan datang tanpa kemahiran.
“Kalau kita tidak mempunyai kemahiran, siapa yang akan mengambil kita bekerja? Jadi, manfaatkan peluang belajar di kolej ini untuk mendapatkan sijil kemahiran dan membina masa depan yang cerah. Yang penting, elakkan sifat malas – kerana malas adalah musuh utama kejayaan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jubli Emas Kolej Vokasional Sibu di Dewan Seri Permata, hari ini.
Gerald juga menekankan pentingnya pelajar memperkasa diri dalam menghadapi dunia teknologi moden yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
Beliau mengingatkan bahawa selain berilmu, pelajar perlu mempunyai pengalaman dan keupayaan membuat penilaian yang bijak antara yang benar dan salah.
Berkenaan sambutan Jubli Emas, Gerald berkata Kolej Vokasional Sibu telah berjaya melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi sepanjang 50 tahun penubuhannya, yang kini memberi sumbangan besar dalam pelbagai sektor.
“Ini membuktikan kolej ini memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga kerja profesional untuk pembangunan negeri dan negara. Saya menyeru agar para pendidik dan pelajar terus berusaha mencapai cita-cita yang lebih tinggi,” tambahnya.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Sibu sebagai sokongan kepada usaha memajukan institusi tersebut.-TVS