KUCHING, 26 April: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun disahkan maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika sedang memandu di Jalan Stephen Yong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian sekitar jam 5.30 pagi apabila dua lelaki hadir ke Balai Polis Batu Kawa memaklumkan bahawa rakan mereka ditemui terbaring di dalam sebuah kereta.
“Pasukan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bersama pegawai perubatan telah ke lokasi kejadian dan mengesahkan kematian mangsa. Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan didapati mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Sylvarius di talian 013-8637241. – TVS