SIBU, 26 April:Hubungan dua hala antara Malaysia dan Bhutan mencapai satu lagi pencapaian penting dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang membuka laluan penerbangan terus dari Sibu ke Paro, Bhutan, yang dijadualkan bermula pada 25 Ogos depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata penerbangan langsung ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan, tetapi juga dijangka memberi sumbangan besar kepada Kempen Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan 53.3 juta pelancong menjelang tahun tersebut.
“Ini bukan sekadar penerbangan baharu, tetapi jambatan yang menghubungkan dua budaya yang kaya dan pelbagai. Ia membuka ruang pertukaran pelancongan, perdagangan serta mempererat hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh wakilnya Timbalan Ketua Pengarah (Promosi III) Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Samuel Lee ketika majlis menandatangani MoU di hotel terkemuka di sini pada Sabtu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ugyen Tenzin dari Bhutan Airlines dan Thomas Tan dari Sak Soon Travel Agencies Sdn Bhd, serta disaksikan oleh Lee dan Ketua Pegawai Pemasaran Pelancongan Bhutan, Karma Wangdi.
Tiong menegaskan bahawa laluan penerbangan ini juga mencerminkan komitmen serius kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama dalam pelancongan, pelaburan, dan pertukaran budaya. Beliau menambah bahawa laluan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan nilai-nilai keharmonian, kejujuran, dan inovasi.
“Laluan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai keharmonian, kejujuran dan inovasi,” katanya.
Sementara itu, Karma Wangdi menyifatkan penambahan laluan dari Sibu sebagai peluang besar yang akan membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik Malaysia-Bhutan, terutama di rantau Borneo.
“Malaysia, khususnya Sarawak, semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan penting bagi rakyat Bhutan. Laluan ini akan memudahkan pergerakan pelancong dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi dua hala,” jelasnya.
Beliau yakin laluan ini akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan persefahaman serta memupuk lebih banyak kerjasama dalam bidang pelancongan dan pelaburan antara kedua-dua negara.-TVS