Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Residen Kapit, Elvis Didit, bercakap kepada media semasa majlis penutupan Latihan Bot Gentian Kaca Komuniti Baleh di Fort Sylvia, Kapit. Foto TVS

Kerjasama strategik sektor awam, swasta dan komuniti pacu pembangunan di Kapit

ByRegina Lee

KAPIT, 26 April: Kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan komuniti setempat merupakan pemacu utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan di Kapit, terutamanya di kawasan Baleh yang terkesan oleh projek Empangan Hidroelektrik Baleh.

Residen Kapit, Elvis Didit, menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan program pembangunan di kawasan ini adalah hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, terutamanya dengan penglibatan Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Kita beruntung kerana SEB bukan sahaja membina empangan, tetapi turut membawa bersama inisiatif pembangunan sosial dan ekonomi yang memberi impak besar kepada komuniti, khususnya kepada mereka yang terkesan secara langsung. Ini membuktikan pendekatan korporat yang bertanggungjawab.

“Elok kita lihat pembangunan ini menggunapakai konsep empat kuadran – pemimpin politik, sektor awam, sektor swasta dan rakyat. Kejayaan pembangunan hanya boleh dicapai apabila semua sektor ini bergerak seiring, dengan matlamat utama meningkatkan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy bagi Penyampaian Projek, Pramod Kumar Karunakaran, menegaskan komitmen SEB untuk mematuhi piawaian pembangunan infrastruktur global berlandaskan prinsip pembangunan mampan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy bagi Penyampaian Projek, Pramod Kumar Karunakaran, berkongsi pandangan mengenai inisiatif pembangunan komuniti di Kapit. Foto TVS

“Konsep asas pembangunan mampan ialah memastikan kehidupan komuniti yang terkesan tidak merosot, malah bertambah baik. Di Baleh, kami belajar untuk melaksanakan prinsip ini dengan lebih berkesan, dan sokongan pejabat Residen Kapit sangat membantu dalam memastikan manfaat program diagihkan secara adil kepada semua,” katanya.

Mereka berkata demikian pada satu majlis penutupan sempena berakhirnya Latihan Bot Gentian Kaca Komuniti Baleh di Fort Sylvia, Kapit, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan di Kapit turut melibatkan proses mendengar kehendak komuniti sebelum melaksanakan sebarang program, termasuk projek-projek seperti penternakan babi, penternakan ikan dan penanaman kopi.

“Kami tidak hanya melaksanakan program, tetapi kami berunding dengan komuniti terlebih dahulu untuk memahami apa yang mereka minat dan ingin lakukan. Matlamat utama adalah untuk melatih mereka sehingga mereka mampu mengendalikan projek tersebut secara berdikari pada masa depan, seterusnya memastikan pembangunan ini bersifat lestari,” ujarnya.

Gabungan usaha sektor korporat seperti SEB, sokongan pentadbiran awam serta keterlibatan aktif komuniti menjadi bukti bahawa model pembangunan inklusif ini mampu membawa perubahan positif yang mampan kepada masyarakat di Kapit. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan