KUCHING, 26 APRIL: Sempena sambutan Hari Bumi 2025, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan kerjasama Emart telah melancarkan Kempen Beli Balik 2025 di Emart Batu Kawa, Kuching.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai, kempen tersebut merupakan satu inisiatif komuniti yang bertujuan untuk memupuk kesedaran dan tindakan praktikal dalam penjagaan alam sekitar.
“Kempen ini bertujuan untuk merealisasikan matlamat untuk mempromosikan amalan kitar semula dan mengurangkan jumlah sisa pepejal yang berakhir di tapak pelupusan.
“Dalam usaha kita mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), adalah jelas bahawa persekitaran yang bersih dan sihat merupakan asas kepada pencapaian matlamat tersebut. Ini juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), di mana kelestarian alam sekitar adalah antara teras utama.
“ Kesihatan dan kelestarian alam sekitar tidak dapat dipisahkan dan program hari ini mencerminkan usaha berterusan kita untuk membina masyarakat yang lebih sihat dalam persekitaran yang mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Beli Balik 2025 di Emart Batu Kawa Kuching, hari ini.

Program yang diadakan bersempena sambutan Hari Bumi ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk membuang barangan terpakai dengan cara yang betul, malah mendorong mereka untuk lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.
Mohamad Irdwandy, 32, menyifatkan program tersebut sebagai satu langkah bijak dalam memupuk budaya kitar semula dan kelestarian alam sekitar.
“Saya rasa inisiatif ini sangat bagus kerana ia merupakan situasi menang-menang. Kami yang membawa barangan bukan sahaja dapat mengemas rumah, malah pihak yang mengitar semula juga boleh memanfaatkan bahan-bahan tersebut untuk dikitar semula,” katanya.
Justeru, dia turut mencadangkan agar kempen seperti ini dijadikan program berkala dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi memudahkan akses orang ramai.

“Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diperluaskan lagi. Kalau boleh, jadikan ia sebagai program mingguan atau jika diadakan secara bulanan pun, biarlah melibatkan lebih banyak lokasi. Ini kerana kadang-kadang halangan utama bagi mereka yang ingin menghantar barangan kitar semula adalah jarak yang jauh,” tambahnya.
Sementara itu, Christine Punin, 27, menekankan pentingnya mengitar semula barangan terpakai yang masih bernilai sebagai satu bentuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
“Apa-apa sahaja barang yang rosak atau masih boleh dijual di rumah, elok dijual sahaja. Ini salah satu cara yang berguna untuk meningkatkan kesedaran kita dalam menjaga alam sekitar supaya tidak membuang barangan atau sampah secara sebarangan,” ujar Christine.
Selain pengumpulan barangan kitar semula, acara tersebut turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti lain seperti Pameran Seni Kreatif Alam Sekitar dan Kempen Kitar Semula.

Pengunjung yang hadir juga berpeluang mengunjungi Pameran Haiwan Peliharaan (Pet Fair) di Emart Batu Kawa, di mana pelbagai aktiviti menarik dan interaktif yang bertujuan memupuk kesedaran tentang penjagaan haiwan peliharaan serta kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, pelanggan Emart juga turut berpeluang mengumpul mata ganjaran “Go Green, Claim Rewards” dengan membawa beg mesra alam sendiri ketika membeli-belah dari 22 hingga 30 April di semua cawangan Emart, termasuk Emart Express dan GoCeli.-TV