MIRI, 26 April: JobSarawak, hab pekerjaan berpusat milik Kerajaan Sarawak, menyertai Pameran Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Ke-4 yang berlangsung dari semalam, 25 hingga 27 April di Pullman Waterfront Miri.
Pameran tiga hari itu dianjurkan di bawah kepimpinan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, bertujuan membimbing rakyat Sarawak, khususnya golongan belia, untuk membuat keputusan yang tepat berkaitan pendidikan dan prospek kerjaya mereka.
Menurut beliau, kehadiran institusi pendidikan terkemuka, agensi kerajaan dan pemain industri dari pelbagai sektor membuktikan komitmen terhadap pembangunan bakat muda Sarawak.
“Saya amat gembira kerana acara ini terus menarik penyertaan ramai pihak dan belia Sarawak, ia merupakan platform berkesan untuk bakat muda kita meneroka laluan ke arah pendidikan tinggi dan peluang kerjaya.
“Acara ini menghimpunkan lebih 40 institusi akademik dan 20 syarikat, menawarkan peluang kepada belia Sarawak untuk meneroka laluan pendidikan, berinteraksi dengan pemain industri utama serta mendapatkan kefahaman mengenai pasaran kerja semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pameran tersebut turut disokong oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), MMS Miri dan Junior Chamber International (JCI) Riam Chapter, mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkasa generasi masa depan.
Selain pameran pendidikan dan kerjaya, Sebastian turut memaklumkan terdapat pelbagai aktiviti seperti rundingan kerjaya, bengkel kemahiran serta permohonan pekerjaan secara terus diadakan bagi membantu pengunjung meningkatkan peluang kerjaya mereka.
JobSarawak, yang berperanan menghubungkan rakyat Sarawak dengan peluang pekerjaan berkualiti di seluruh negeri, terus menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan berdaya tahan.
Untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjaya, layari JobSarawak di https://job.sarawak.gov.my/info/. – TVS