KOTA SAMARAHAN, 26 April: Hak Sarawak terhadap sumber galiannya, terutamanya minyak dan gas, merupakan hak mutlak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tidak boleh dipertikaikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang.
Idirs menegaskan hak tersebut merupakan hak mutlak Sarawak yang memungkinkan termetrainya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekaligus membentuk negara Malaysia yang dikenali ketika ini.
“Jangan sekali diketepikan hak ini kerana ini adalah hak yang mutlak, hak dibawah MA63 dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyebabkan sebenarnya penubuhan Malaysia.
“Kalau tiada perkara itu, Sarawak dan Sabah tidak akan menangani MA63 maka tidak akan ada negara Malaysia,” katanya.
Timbalan Speaker DUN Sarawak itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Bang Dris di sini pada Jumaat.
Idris berkata, kepemimpinan tertinggi negeri yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah banyak berusaha untuk membawa Sarawak ke era pembangunan lebih manpan ketika ini.
Justeru setiap rakyat Sarawak tegasnya harus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada barisan kepimpinan tersebut agar apa yang dirancang untuk kemakmuran dan kemajuan Sarawak dapat direalisasikan. – TVS