KUCHING, 26 April: Hubungan harmoni antara ibu bapa dengan guru penting untuk membentuk karakter pelajar sekali gus menjamin kecemerlangan mereka dalam pelajaran.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, lazimnya kejayaan cemerlang anak dalam akademik bergantung kepada keakraban hubungan ibu bapa dan guru.
Malah menurutnya, ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu perkembangan anak-anak di sekolah dan bukannya menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik kepada pihak sekolah.
“Kita perlu berganding bahu untuk mendidik anak-anak dan sentiasa melihat keperluan anak terutama yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-33 dan Ramah-tamah Aidilfitri SMK Agama Matang 2 di sini, hari ini.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, PIBG mempunyai peranan besar dalam membantu membangunkan keperluan sekolah.
“Tugas PIBG bukan sahaja melibatkan keperluan kemudahan sebaliknya turut merangkumi usaha pemerkasaan akademik.
“Ini kerana ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah sudah pasti mahu anak mereka menimba ilmu sebaik mungkin dan berjaya dalam pelajaran,” ujarnya.
Sementara itu, Ramah-tamah Aidilfitri yang berlangsung di SMK Matang 2 mendapat kerjasama daripada YAPEIM Sarawak.
Pada majlis tersebut YAPEIM turut menyampaikan sumbangan sinar kasih dan sumbangan pembangunan ekonomi kepada penerima terpilih.-TVS