Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perenang lelaki negara Khiew Hoe Yean. Foto fail Bernama

Hoe Yean tambah tiga emas lagi Renang Terbuka Malaysia 2025

ByBernama

KUALA LUMPUR, 26 April: Perenang lelaki negara Khiew Hoe Yean menambah koleksi pingat apabila memenangi tiga lagi emas pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil di sini hari ini.

Perenang Kuala Lumpur itu tidak berdepan masalah mendominasi acara kegemaran 400 meter (m) gaya bebas dengan catatan masa 3 minit 52.55 saat (s) untuk menewaskan rakan sepasukan Muhammad Dhuha Zulfikry yang meraih perak (3:55.96s), manakala Wang Yi Shun dari Hong Kong memenangi gangsa (4:03.08s).

Perenang berusia 22 tahun itu sekali lagi mengutip emas dalam acara 200m kuak lentang dengan catatan masa 2:04.21s, manakala Hii Puong Wei dari Persatuan Renang Amatur Sarawak meraih perak (2:06.99s) dan Daniel Williams dari Selangor di tempat ketiga (2:07.46s).

Hoe Yean melengkapkan hari cemerlang dengan membantu kuartet 4x200m gaya bebas Kuala Lumpur melakar kemenangan dengan catatan masa keseluruhan 7:32.38s, diikuti pasukan Selangor (7:37.83s) yang memenangi perak, manakala pasukan Hong Kong meraih gangsa (7:43.06s).

Dengan tiga kemenangan hari ini, Hoe Yean kini merangkul enam emas selepas menguasai acara 100m gaya bebas dan 100m kuak lentang pada Khamis, dan 200m gaya bebas semalam.

Walaupun melakar kejayaan hari ini, Hoe Yean menyifatkan dua acara pertama sebagai antara cabaran paling sukar yang pernah dihadapinya.

“Saya tahu ia akan menjadi sukar (dua acara pertama) kerana saya hanya ada masa rehat selama 10 minit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di sini hari ini.

Sementara itu, Hoe Yean berkata kejohanan ini menjadi pemanas badan yang baik baginya dan rakan-rakan sepasukan menjelang Sukan Universiti Dunia 2025 di Rhine Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai dan Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura dari 27 Julai hingga 3 Ogos.

Sementara itu, perenang negara Phee Jinq En yang mewakili Selangor sekadar berpuas hati dengan gangsa dalam acara 50m kuak dada wanita selepas mencatat masa 32.31s.

Dua perenang Hong Kong Man Wui Kiu dan Claire Cheung masing-masing meraih emas (32.10s) dan perak (32.25s).

Kejohanan selama empat hari ini akan melabuhkan tirai esok. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan