SIBU, 26 April: Kerajaan Sarawak kini dalam fasa akhir bagi penggabungan agensi utama bekalan air negeri dan menjangkakan inisiatif ituĀ akan dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jun depan.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, penggabungan ini hampir dimuktamadkan dan dirangka berdasarkan kajian mendalam yang mengutamakan “acuan Sarawak”.
āPercayalah, penggabungan ini dibuat berdasarkan kajian mendalam dan acuan Sarawak sendiri. Kita tidak ambil model dari luar kerana kita yakin apa yang terbaik untuk Sarawak datang daripda kita sendiri,ā katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Jamuan Tahunan Lembaga Air Sibu 2025 dan Ramah Tamah Aidilfitri pada Jumaat malam.
Julaihi turut memberi jaminan bahawa dengan penggabungan tersebut akan memberi kebaikan jangka panjang kepada seluruh kakitangan agensi yang terlibat.
“Jadi kepada yang masih risau impak penggabungan ini tak usah khuatir kerana kami tahu apa yang terbaik untuk anda.
“Kebajikan kakitangan akan terus dijaga, dengan penambahbaikan dari segi gaji, pencen dan caruman KWSP yang sedang diperincikan, maklumat lanjut akan diumumkan dalam sesi town hall yang akan diadakan berkaitan perkara ini,” tambah beliau.
Tiga entiti yang terlibat dalam penggabungan ini ialah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Sarawak Water Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai LAKU Management Sdn Bhd.
Manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) tidak terlibat dalam penyatuan tersebut buat masa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Julaihi turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM697 juta untuk melaksanakan 30 projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di kawasan seliaan Lembaga Air Sibu.
“Setakat ini, lapan projek telah siap 26 peratus manakala 11 projek mencapai 37 peratus sedang berjalan mengikut jadual, dan baki 11 lagi masih dalam fasa perancangan.
“Antara projek utama yang sedang berjalan termasuk Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim serta penggantian dan penaiktarafan paip lama dengan kos sebanyak RM338 juta bagi bahagian Sibu.
Julaihi turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan liputan penuh bekalan air dapat dicapai menjelang tahun 2030 selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan PCDS 2030 dengan pelbagai kerja-kerja naiktaraf dan penambahbaikan bekalan air yang dilakukan.
Pada malam tersebut, seramai 31 orang kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023 dan 2024 serta sijil Penghargaan Perkhidmatan Selama 20 Tahun kepada tiga orang kakitangan dan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Selama 30 Tahun kepada tujuh orang kakitangan, manakala satu Anugerah Khas kepada seorang warga Lembaga Air Sibu.-TVS