BINTULU, 26 April:Sebuah unit pangsapuri di Jalan Tun Hussien Onn terbakar awal pagi tadi.
Komander Operasi, Francis Aceh Angai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.54 pagi dengan menggerakkan 18 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Kidurong ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah pangsapuri ditingkat 4 di sebuah blok apartment 6 tingkat telah terbakar 70 peratus.
“Bagaimanapun, dua mangsa lelaki berusia 37 tahun dan wanita berusia 34 tahun berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemadaman secara ‘ofensive’ telah dijalankan oleh pasukan bomba dengan menggunakan sistem pancur kering bangunan sumber air dari FRT serta pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran dan tindakan penyejukan aras atas rumah yang terlibat juga telah dijalankan bagi mengelakan kebakaran merebak.
“Pasukan bomba turut melakukan pengungsian blok apartmen yang terlibat sejurus tiba di lokasi bagi memastikan keselamatan setiap penghuni rumah di setiap aras.
“Setelah memastikan kebakaran padam sepenuhnya dan keadaan selamat pihak bomba berangkat balik ke balai,” ujarnya.
Punca kebakaran dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan. – TVS