KUCHING, 26 April:Langkah Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pendidikan percuma bermula tahun 2026 mendapat perhatian positif dari beberapa negara di rantau ini, termasuk Timur Leste, Indonesia, dan Kemboja, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sharifah Hasidah berkata negara-negara terbabit juga memuji Sarawak sebagai model rujukan dalam merancang dasar pendidikan yang inklusif dan berpandangan jauh, seperti yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) 2025.
“Kita mendengarkan dari negeri-negeri lain seperti di Timur Leste, negeri di Indonesia, Kambodia mereka memuji negeri Sarawak bukan sahaja memuji Malaysia, tapi memuji negeri Sarawak.
” Saya membentangkan pelan PCDS2030 saya ada nyebut dan mereka nak belajar dari kita bagaimana nak beri dan rancang nak beri pendidikan bercuma kepada anak-anak, macam Yayasan Sarawak boleh bantu pelajar-pelajar dengan pakaian uniform seperti ni juga Dan mereka begitu kagum dengan kejayaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Agihan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Pelajar YAKIN di Auditorium Wisma Adenan, Yayasan Sarawak, Kuching pada Sabtu.
Tambahnya dengan langkah Sarawak untuk menyediakan pendidikan percuma di institusi milik negeri seperti Swinburne Sarawak, Curtin Sarawak, ICATS dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) adalah satu kelebihan besar buat anak-anak Sarawak dan menyeru agar pelajar merebut sepenuhnya manfaat tersebut demi masa depan mereka serta negeri.
Katanya lagi, usaha pendidikan percuma ini juga selari dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang memberi fokus kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Jelasnya, ini adalah dasar yang mampu mengubah nasib keluarga, masyarakat dan negeri Sarawak sendiri dan menyeru agar para pelajar merebut peluang yang telah disediakan kerajaan Sarawak.
Dalam pada itu, Hasidah memuji langkah proaktif Yayasan Sarawak yang telah menyalurkan RM20 juta dalam bentuk bantuan pelajar, termasuk RM200 setiap pelajar yang terlibat untuk tahun ini.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih adil dan inklusif.
Dengan pendapatan negeri yang kini mencecah lebih RM14 bilion, Hasidah menyifatkan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan hasil negeri dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat khususnya melalui pendidikan. -TVS