SRI AMAN, 26 April: Bayi berusia enam bulan antara empat yang cedera dalam kemalangan kendiri di Kampung Punggu Dadak, Jalan Sri Aman, pagi tadi.
Komander Operasi, Nicholas Langi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.45 pagi dan segera menggerakkan tiga anggota ke lokasi.
“Setiba di lokasi kejadian didapati kemalangan kendiri melibatkan kereta Perodua Viva.
“Kenderaan terbabit dinaiki tujuh mangsa yang terdiri daripada tiga mangsa dewasa berusia 18 hingga 46 tahun dan seorang bayi berusia enam bulan cedera, tiga kanak-kanak berusia tiga hingga 10 tahun yang turut menaiki kereta itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba membuat size up dengan PPE yang lengkap dan menggunakan peralatan emergency kit bag untuk membuat rawatan awal pada seorang mangsa wanita manakala tiga lagi mangsa dirawat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seterusnya kesemua mangsa dibawa ke hospital Sri Aman dengan menggunakan jentera EMRS dan ambulan KKM.
“Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan dan rawatan selanjutnya,” ujarnya. – TVS