KUCHING, 25 April: Seorang warga emas merupakan antara 40 individu yang diuji positif dadah jenis Methamphetamine dalam Ops Perdana/ Bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.
Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sarawak, Mohamed Izuan Abdul Rahman berkata operasi dijalankan di Sungai Asap, Belaga yang membabitkan pegawai dan anggota AADK dari Sibu, Sarikei dan Bintulu.
“Sepanjang pelaksanaan operasi, seramai 46 individu ditahan bagi menjalani saringan awal air kencing.
“Hasil ujian mendapati 40 individu disahkan positif dadah jenis Methamphetamine manakala enam individu lagi negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata 34 yang didapati positif merupakan lelaki dan selebihnya perempuan.
Dari pecahan umur, 26 orang berumur antara 19 hingga 40 tahun, 10 orang berumur 41 hingga 50 tahun dan empat orang lagi berumur 51 hingga 60 tahun.
Menurutnya, semua individu yang positif telah didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).
Mohamed Izuan yang mengetuai operasi itu berkata Ops Perdana/ Bersepadu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AADK Sarawak dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berisiko tinggi.
“Ia juga bertujuan memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa AADK komited dalam memastikan Sarawak bebas daripada ancaman dadah, selaras dengan aspirasi Dasar Dadah Negara,” katanya. -TVS