SIBU, 25 April: Seorang wanita kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang ditawarkan oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi janji temu.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dan bekerja dalam bidang pemasaran jualan, dilaporkan membuat 12 transaksi berjumlah RM102,992.40 ke tiga akaun bank tempatan dari 6 Februari hingga 6 Mac lalu, bagi memenuhi syarat “pelaburan” yang dijanjikan suspek.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, insiden bermula pada 11 Januari apabila mangsa berkenalan dengan seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai “Lucian Lee Hao Yu”, kononnya seorang jurutera dan pengarah di Hong Leong Group.
“Selepas berkenalan, suspek mula menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan menawarkan peluang pelaburan ‘private placement’ yang dikatakan memberikan pulangan lumayan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut bersetuju untuk melabur, malah menyerahkan maklumat peribadi melalui laman web yang diberikan, iaitu privatemutuallg.com.
Mangsa turut membuat pinjaman bank sebagai modal pelaburan selepas diyakinkan oleh suspek.
Namun, tiada sebarang pulangan diterima, dan mangsa akhirnya menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
ACP Zulkipli turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa, terutama apabila ditawarkan melalui platform tidak rasmi atau individu tidak dikenali.
“Semakan terhadap kesahihan mana-mana skim pelaburan boleh dibuat menerusi laman web rasmi seperti www.bnm.gov.my, www.sc.com.my, atau melalui Investment Checker oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya. -TVS