KUCHING, 25 April: Siemens Energy bersedia membantu memacu agenda transformasi tenaga hijau di Sarawak menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak merangkumi pelbagai aspek pembangunan tenaga mampan.
Naib Presiden Kanan Global yang juga Pengarah Urusan Asia Pasifik Siemens Energy, Thorbjorn Fors berkata, beliau kagum terhadap potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga termasuk penjanaan kuasa melalui turbin gas dan hidroelektrik, penghantaran tenaga rentas sempadan ke Semenanjung Malaysia dan Singapura serta pembangunan ekonomi hidrogen sebagai sumber tenaga masa hadapan.
“Kami juga berbincang mengenai ekonomi hidrogen sekali gus menghasilkan hidrogen dengan cara yang paling cekap serta bagaimana menggunakannya secara efisien.
“Semua ini turut dikaitkan dengan perbincangan mengenai usaha untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan kakitangan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Urusan Siemens Energy Malaysia, Azli Mohamad, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Gas Asia Pasifik, Je Un Oh serta Naib Presiden Perkhidmatan Gas Asia Pasifik, Vivek Tanu Chauhan.
Sebagai langkah konkrit memperkukuh kerjasama dua hala, Siemens Energy turut menyatakan komitmen untuk berganding bahu dengan institusi pengajian tinggi di Sarawak melalui perkongsian pengetahuan selain menawarkan peluang latihan industri kepada pelajar tempatan di fasiliti mereka di luar negara.
Mengulas lanjut, Fors memaklumkan Siemens Energy baru-baru ini dianugerahkan projek pembekalan dua unit turbin gas berkapasiti 500 megawatt bagi loji janakuasa di Samalaju, Bintulu dan membuktikan keyakinan syarikat terhadap kestabilan dasar serta potensi sektor tenaga Sarawak.
Beliau turut menekankan kedudukan strategik Sarawak dalam landskap tenaga serantau berikutan kekayaan sumber semula jadinya seperti air, minyak dan gas yang bukan sahaja mampu memenuhi keperluan domestik malah menyumbang kepada grid tenaga ASEAN serta pasaran eksport tenaga molekul.
“Lihat sahaja kekayaan sumber semula jadi di Sarawak, daripada air dan hidro kepada minyak dan gas. Sudah tentu, kami turut aktif dalam industri minyak dan gas.
“Dengan sumber yang begitu melimpah, Sarawak mampu memainkan peranan penting dalam grid tenaga ASEAN selain menjadi pengeksport molekul seperti ammonia dan gas,” ujarnya. – TVS