JEPUN, 25 April: Industri perkayuan Sarawak akan terus menerapkan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) terutama dalam aspek automasi dan penggunaan teknologi digital.
Sehubungan itu, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad mengetuai delegasi Sarawak ke Institut Penyelidikan Sumitomo Forestry Tsukuba (Sumitomo Forestry) di Jepun.
Lawatan penanda aras itu turut disertai wakil Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC), dan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA).
Sebagai pengimport utama palet kayu, Jepun boleh dianggap sebagai negara yang memberi inspirasi kepada Sarawak dalam meneroka potensi besar industri palet kayu dan kayu kejuruteraan.
Ia mampu dijadikan sebagai sumber penjanaan tenaga hijau selari dengan dasar Kerajaan Sarawak dan visi ekonomi hijau yang digariskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Sementara itu, ketibaan Hamden dan delegasi disambut Pengurus Besar Sumitomo Forestry, Takahashi.
Menurut Jabatan Hutan Sarawak dalam kenyataan pada Khamis, sepanjang lawatan tersebut, delegasi Sarawak diberikan taklimat berkaitan penyelidikan yang dijalankan oleh institut tersebut termasuk usaha meningkatkan kekuatan dan ketahanan bahan kayu serta penambahbaikan prestasi papan berasaskan kayu bagi aktiviti hiliran.
Sumitomo Forestry merupakan institusi terkemuka dalam teknologi perhutanan, teknik kultur tisu, bio-penapisan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penyimpanan karbon dan pemuliharaan alam semula jadi.
Terdahulu pada 23 April 2025, delegasi turut mengadakan lawatan ke Institut Penyelidikan Perhutanan dan Produk Hutan Jepun (FFPRI).
Dalam lawatan tersebut, delegasi mengikuti sesi pembentangan mengenai pelbagai penyelidikan kayu yang dijalankan oleh FFPRI, menyaksikan demonstrasi eksperimen struktur kayu serta melawat rumah kayu eksperimen yang dibangunkan institut tersebut.-TVS