BAU, 25 Apr: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sentiasa mengutamakan kebajikan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dengan langkah signifikan termasuk pemberian caruman PERKESO secara percuma.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, setiap PBB akan mendapat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau Program SPS Madani yang memberi perlindungan kepada mereka.
“Jutaan penghargaan kepada pihak PERKESO kerana memberi peluang kepada 4,000 PBB untuk menerima manfaat ini secara percuma tahunan,” katanya.
Manfaat yang diperoleh termasuk faedah perubatan, hilang upaya, elaun layanan dan faedah pemulihan jasmani.
Perlindungan tersebut juga melibatkan caruman untuk PBB yang mengalami kecederaan semasa bertugas.
Tiong menjelaskan, pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) telah diluluskan, memperluaskan Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) kepada semua PBB bukan hanya Pegawai Bomba sepenuh masa.
“Dengan pindaan ini, PBB kini layak menerima manfaat yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Menurutnya, JBPM turut menyediakan elaun tambahan untuk PBB, termasuk Elaun Kehadiran Latihan Tempatan (EKLT) RM8.00/jam, Elaun Bounty RM520.00 dan Elaun Penyelenggaraan Pakaian RM125.00.
“Keseluruhannya, jabatan memperuntukkan RM50,000,000.00 setahun untuk kebajikan PBB,” jelasnya.-TVS