KUCHING, 25 April: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas hubungan erat yang terjalin sepanjang tiga tahun tempoh perkhidmatannya yang bakal berakhir pada 30 April ini.
Dalam kunjungan perpisahan beliau ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini, Raden Sigit menyifatkan hubungan antara Indonesia dan Sarawak sebagai kukuh serta produktif terutamanya dalam dua tahun terakhir.
“Kerjasama ini merangkumi pelbagai sektor terutama sekali dalam bidang ekonomi, sosial, budaya serta perkara-perkara yang berkaitan antara Indonesia dan Sarawak. Kami amat berharap agar kerjasama dan kolaborasi yang baik ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Perkara ini juga akan saya sampaikan kepada pengganti saya kelak yang juga berkesempatan untuk bertemu dan berbincang bersama kami. Sudah tentu kami akan memberikan cadangan dan panduan kepada beliau untuk meneruskan kerjasama baik dengan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai masa depan hubungan dua hala, Raden Sigit turut menekankan kepentingan aspek keterhubungan di Kepulauan Borneo termasuk usaha mengaktifkan semula laluan penerbangan antara Pontianak dan Kuching.
“Kami berharap Gabenor baharu Kalimantan Barat akan turut memberikan sokongan untuk mengaktifkan semula laluan penerbangan antara Pontianak dan Kuching.
“Premier Sarawak turut mencadangkan agar laluan penerbangan ke Balikpapan di Kalimantan turut dipertimbangkan memandangkan di situ terletaknya lokasi Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara,” ujarnya.
Dalam pertemuan itu juga, beliau berkata, laluan rentas sempadan bukan hanya perlu berfungsi untuk pergerakan individu dan kenderaan tetapi juga perlu diperluas untuk urusan perdagangan.
Beliau juga menyentuh pelaksanaan Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia tahun lalu yang berlangsung dengan aman di Sarawak melibatkan lebih 52,000 warga Indonesia yang sebahagian besarnya bekerja dalam sektor perladangan.
Raden Sigit akan kembali bertugas di Kementerian Luar Negeri Indonesia di Jakarta selepas tamat perkhidmatannya di Kuching namun belum dimaklumkan sama ada beliau akan terus berada di Jakarta atau menerima penugasan baharu. – TVS