KUALA LUMPUR, 25 April: Projek Warisan KL, yang merupakan usaha kerajaan dalam membangunkan bandar raya Kuala Lumpur yang moden, perlu mencerminkan legasi rakyatnya, bukan semata-mata sebagai bandar pencakar langit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu yang mengangkat pembangunan negara moden, tidak boleh meminggirkan rakyat, warisan, dan nilai budaya.
Anwar, dalam ucapannya pada majlis peluncuran projek itu, menggesa agar projek terbabit disegerakan, namun meminta agar pelaksanaannya mengambil kira keperluan dan keselesaan rakyat.
“Warisan ini mesti menjamin keselesaan rakyat, kawasan hijau, keselamatan mereka, keindahan padangnya, serta kesempatan untuk orang berjalan kaki dan berbasikal.
“Bagi kita (kerajaan), ia adalah sebuah kota yang moden, baharu, dan bukan untuk memenuhi mana-mana kelas, tetapi untuk keperluan semua rakyat,” katanya pada majlis peluncuran Projek Warisan KL di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kota yang berjaya perlu menarik dan menawan, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
“Memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit. Teknologi baharu seperti digital, kecerdasan buatan (AI) serta transisi tenaga adalah antara keutamaan yang perlu disegerakan.
“Tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi, iaitu faham sejarah, budaya, nilai, dan akhlak,” ujarnya.
Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI bertujuan menghidupkan semula Kuala Lumpur melalui naik taraf, pemeliharaan budaya, pemuliharaan sejarah, dan pada masa yang sama memperkukuh nilai dalam komuniti. – TVS