KUCHING, 25 April: Sarawak Metro Sdn Bhd terus melakar pencapaian apabila menandatangani perjanjian dengan DOM EEB Joint Venture International Sdn Bhd (DOM-EEB JV) bagi pelaksanaan Program Pembangunan Pemerkasaan Sosioekonomi (SEED).
Program itu dilaksanakan menerusi kontrak Pakej Sistem 2 bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), yang dianugerahkan kepada DOM-EEB JV.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa berkata, program berkenaan bukan sahaja meningkatkan nilai pemerolehan dalam projek KUTS, malah membuka peluang kepada pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran tenaga kerja dan usaha pemerkasaan industri tempatan.
“Fokus utama kami bukan hanya membangunkan pengangkutan awam moden dan mampan, tetapi juga memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan, melalui kerjasama dalam Program SEED,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian bersama Pengarah DOM-EEB JV, Vincent Ng. Majlis disaksikan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain, yang juga Pengerusi Sarawak Metro di sini pada Khamis.
Pakej Sistem 2 merangkumi reka bentuk, penyediaan, pemasangan dan pentauliahan pelbagai sistem termasuk telekomunikasi, kawalan dan pemerolehan data (SCADA), kutipan tambang automatik (AFC), sistem penyelenggaraan berkomputer (CMMS), pusat kawalan operasi (OCC) dan teknologi maklumat (ITS) bagi operasi kenderaan Aliran Transit Automasi (ART).
Mazli berkata, pihaknya percaya Program SEED mampu merangsang pembangunan bakat tempatan serta memperkukuh ekosistem pengangkutan awam di Sarawak.
Sementara itu, Pengarah DOM Industries Sdn Bhd, Noorfazliyani Mustafa Kamal berkata, penyertaan mereka dalam program itu dianggap satu keistimewaan dan bukan sekadar tanggungjawab kontrak.
“Kejayaan sebenar bukan hanya pada apa yang dibina, tetapi bagaimana ia dibina dan siapa yang mendapat manfaatnya. Kami komited memastikan impak jangka panjang yang positif kepada masyarakat di Sarawak,” katanya.
Program SEED merupakan inisiatif Sarawak Metro yang menyerupai Program Kolaborasi Industri (ICP) yang dilaksanakan bagi projek strategik negara, bertujuan memaksimumkan impak ekonomi dan sosial daripada nilai pemerolehan projek.