Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polisi perlombongan baharu Sarawak dijangka siap 2026

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 25 April: Kerajaan Sarawak kini dalam proses merangka satu polisi perlombongan baharu yang lebih lestari mengguna pakai teknologi moden, dengan sasaran siap menjelang tahun 2026.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dasar baharu ini penting bagi memastikan aktiviti perlombongan tidak lagi membawa kesan negatif kepada alam sekitar, seperti yang berlaku dalam amalan perlombongan secara terbuka (‘opencast’) sebelum ini.

“Di Kanada, terdapat banyak model yang boleh kita contohi. Saya dimaklumkan oleh Datuk Amar Awang Tengah dan pasukannya bahawa mereka telah melawat kawasan perlombongan yang kelihatan seperti tanah baharu.

“Jika dilihat dari udara, ia seolah-olah kawasan yang tidak terusik. Inilah pendekatan baharu dalam menggali dan mengambil sumber mineral tanpa menjejaskan struktur geologi asal kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) 2025 di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; serta Setiausaha Tetap MUDeNR, Datu Abdullah Julaihi.

Menurut Abang Johari, dengan penggunaan teknologi perlombongan yang kurang invasif, Sarawak akan merangka dasar bagi mengurus sumber mineral seperti nikel, litium dan uranium secara mampan dan mesra alam, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak dan gas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkongsi mengenai pertemuannya bersama Menteri Tenaga Uganda yang berminat menjalin kerjasama dalam sektor mineral dan tenaga.

Beliau mendedahkan Uganda juga melihat potensi Sarawak sebagai rakan strategik dalam pengurusan gas serta pembangunan kejuruteraan berkaitan.

Sementara itu, Abang Johari turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd bagi membantu penduduk luar bandar memiliki rumah dengan kemudahan bayaran deposit ditanggung kerajaan.

“Kita bangunkan tanah melalui proses penambakan, lengkap dengan bekalan elektrik, air dan jalan raya moden. Semua kos ini ditanggung kerajaan.

“Rakyat hanya perlu membayar premium sebanyak RM2,500. Selepas itu, mereka boleh membeli rumah dengan bayaran deposit sebanyak RM10,000 yang turut ditanggung kerajaan. Ertinya, rakyat hanya perlu membayar ansuran bulanan,” jelasnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan