SIBU, 25 April: Dua pelajar sekolah menengah nyaris maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah bas sekolah yang dipercayai mengalami kegagalan brek di persimpangan Jalan Kemuyang dan Jalan Oya Lama, sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.
Menurut saksi kejadian, bas yang membawa beberapa pelajar itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua buah kereta termasuk sebuah Perodua Kenari diikuti sebuah pacuan empat roda, sebelum akhirnya melanggar motosikal yang dinaiki dua pelajar terbabit.
Salah seorang mangsa iaitu pelajar berusia 14 tahun yang membonceng motosikal tersebut, mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri, manakala penunggang motosikal dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Saksi turut memaklumkan bahawa para pelajar yang menaiki bas sempat keluar menyelamatkan diri sejurus selepas pelanggaran berlaku.
Mereka hanya menyedari kemudian bahawa motosikal dinaiki dua pelajar itu telah diseret oleh bas tersebut.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili yang dihubungi TVS mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu.
“Kejadian ini kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya ringkas.
Difahamkan, laluan tersebut sering mengalami kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak pagi dan tengah hari, dengan kesesakan yang mencecah dua hingga tiga kilometer.-TVS