KUCHING, 25 April: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus melakar pencapaian membanggakan apabila beberapa orang pegawainya telah menerima pengiktirafan sebagai Geospatial (Gs) daripada Institution of Geospatial and Remote Sensing Malaysia (IGRSM).
JKR Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap kepakaran dan sumbangan mereka dalam bidang geospatial dan penderiaan jauh.
“Setakat ini, seramai 13 orang pegawai JKR Sarawak telah diiktiraf secara rasmi sebagai Geospatial (Gs), termasuk penerima terkini dan mereka yang telah dianugerahkan dalam siri penganugerahan terdahulu,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sijil disampaikan Presiden IGRSM Prof Dr Abdul Rashid Mohamed Shariff dalam satu majlis di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada Khamis.
Mereka yang menerima pengiktirafan ini terdiri daripada Cheng Siong Ming, Kilat Naipok, Kenneth Khoo Wee Hong, Robin Peter, Marieo Parilla Edinte Jiken dan Daviana Eliza David.
Pengiktirafan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JKR Sarawak dalam memperkukuh keupayaan teknikal dan membina tenaga kerja berkemahiran tinggi, selari dengan kemajuan teknologi dan keperluan masa hadapan sektor infrastruktur.
Sehubungan itu, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Dr Cassidy Morris dalam kenyataan yang sama merakamkan penghargaan kepada IGRSM atas penganugerahan tersebut.
“Penganugerahan ini merupakan satu penghormatan besar kepada pegawai-pegawai kami dan menjadi pemangkin kepada usaha JKR Sarawak dalam membina barisan profesional berkemahiran tinggi.
“Kami amat menghargai peranan IGRSM dalam menyokong pembangunan kapasiti geospatial di negara ini,” katanya.
Pencapaian ini mengukuhkan peranan JKR Sarawak dalam mentransformasikan pembangunan infrastruktur negeri, di samping menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Ia juga sejajar dengan misi jabatan untuk membangunkan infrastruktur pintar, mampan dan berdaya saing berasaskan data, teknologi dan inovasi,” katanya.