MIRI, 25 April: Program Bakti Madani (PBM) Miri 2025 menjanjikan platform pengukuhan komuniti dan pemerkasaan usahawan tempatan melalui pendekatan inklusif yang menyatukan elemen pembangunan, sosial dan hiburan keluarga dalam satu acara besar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni, penganjuran kali ini membawakan kelainan dengan kehadiran rakan strategik baharu iaitu TV Sarawak (TVS), di samping gabungan mantap antara RECODA dan Unit Lonjakan Prestasi (PACU) dari Jabatan Perdana Menteri.
“Tujuan kita adalah untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui inisiatif Madani serta Kerajaan Sarawak menerusi PCDS 2030,” katanya pada sidang media di Pullman Hotel di sini, hari ini.
Menurutnya sebanyak 72 usahawan tempatan akan menyertai Karnival Usahawan RECODA yang menjadi medan promosi produk-produk keluaran tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jualan Rahmah yang dibawakan oleh dua pasar raya utama, Emart dan Nam Leong, dijangka turut menjadi tumpuan pengunjung.
Penganjuran Battle of the Band dan Konsert Rakyat pada waktu malam yang menampilkan artis terkenal seperti Baby Shima dan Ellycats, dijangka menghidupkan suasana santai yang mesra keluarga, sekali gus menjadikan PBM Miri sebagai acara rakyat yang menyeluruh.
“Dan pada 10 hari bulan iaitu pada hari Sabtu merupakan highlight kepada program kita yang mana program kita akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sebelah paginya.
“Maka pada masa tersebut lah kita nak sekali lagi supaya orang ramai tahu apakah dia program-program inisiatif langkah-langkah yang telah diambilkan oleh kerajaan Persekutuan melalui beberapa program-program madani mereka dan juga kerajaan Sarawak mengenai apa yang telah kita buatkan di dalam untuk PCDS 2030,” tambahnya.
Program turut diteruskan ke daerah Subis sebagai satelit lokasi, dengan aktiviti gotong-royong, jualan rahmah dan acara komuniti setempat bagi memastikan manfaat PBM turut dirasai masyarakat luar bandar.
“Kita harap masyarakat bukan sahaja hadir, tetapi benar-benar ambil tahu dan manfaatkan segala informasi dan peluang yang disediakan… inilah masanya untuk rakyat melihat sendiri apa yang kerajaan sedang lakukan untuk mereka,” ujarnya.
Bakal berlangsung pada 9 hingga 11 Mei 2025 di Stadium Bandaraya Miri, PBM 2025 menghimpunkan pelbagai pengisian seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, pocket talks pembangunan, karnival usahawan, aktiviti kesihatan, zumba, battle of the band dan konsert rakyat yang dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh kawasan utara Sarawak.-TVS