SIMUNJAN, 25 April: Seramai 31 ahli termasuk 16 muka baharu mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Daerah Simunjan (MDS) bagi penggal 2025 hingga 2028 dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Mesra Simunjan pada Rabu.
Majlis angkat sumpah disaksikan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil, serta dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, dan ADUN Simunjan, Awla Dris.
Menurut Awla, pelantikan muka baharu mencerminkan suntikan idea segar dalam pentadbiran tempatan di sini.
“Pelantikan kali ini diharap dapat memperkukuh keupayaan MDS dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra rakyat,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Majlis dimulakan dengan lafaz sumpah oleh Pengerusi MDS, Sanuyah Mohamad, diikuti Timbalannya, Mohammad Zaini Morshidi, dan ahli-ahli majlis lain.
Sesi turut menyaksikan penandatanganan Deklarasi Penerimaan Jawatan dan Ikrar Bebas Rasuah, diketuai oleh Sanuyah.
Turut hadir, wakil Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Ts. Tan Chee Kang; Pemangku Setiausaha MDS, Sabli Razak, serta Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat (KMKK) dari kawasan sekitar. -TVS