KAPIT, 25 April: Sarawak Energy memperkasa wanita luar bandar menerusi Program Latihan Artisan Baleh yang memfokuskan kemahiran jahitan berasaskan Pua Kumbu, hasil kerjasama dengan Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG).
Program yang disertai oleh wanita komuniti Baleh itu memberi pendedahan kepada kemahiran menjahit moden dan tradisional, termasuk rekaan beg dan pakaian berasaskan kain Pua Kumbu.
Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy bagi Penyampaian Projek, Pramod Kumar Karunakaran berkata, pembangunan infrastruktur harus disertai dengan inisiatif yang membawa nilai sosial dan ekonomi kepada komuniti setempat.

“Kami komited untuk memastikan impak projek kami melangkaui infrastruktur semata-mata. Kami berusaha mencipta peluang, memperkasakan komuniti dan menyokong inisiatif yang membawa perubahan positif dan berkekalan.
“Komuniti di sekitar Projek HEP Baleh adalah sebahagian penting dalam perjalanan kami, dan kami akan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk menyampaikan nilai jangka panjang,” katanya.
Menurut Lydia Bajok, salah seorang peserta, program berkenaan bukan sahaja membuka peluang menjana pendapatan dari rumah, malah mengasah bakat dalam rekaan kreatif.
“Program ini sangat bagus kerana kami belajar banyak kemahiran – dari menjahit beg hingga ke baju seperti kimono dan kebaya. Semua yang kami pakai sekarang adalah hasil buatan sendiri dalam kelas. Hasilnya, kami dah mula menjual dan dapat jana pendapatan terus dari rumah.
“Harapan saya, program ini diteruskan dan diperluas. Mungkin lepas ini boleh tambah modul baharu seperti membuat bunga hiasan atau produk makanan, supaya lebih ramai suri rumah dapat manfaat,” tambah Lydia.
Bagi Suzy Imbah pula penyertaan dalam program itu membantunya mengasah minat lama dan membina keyakinan dalam bidang keusahawanan.
“Saya memang dah lama minat. Program ini betul-betul bantu kami tingkatkan kemahiran dan bannyak yang kami belajar kini dah pun terjual.
“Lepas ni, kami nak belajar cara pasarkan secara digital pula, supaya lebih ramai tahu tentang produk kami dan kami boleh luaskan lagi jualan,” ujarnya.
Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen Sarawak Energy terhadap pembangunan sosial yang inklusif dan lestari, selari dengan pelaksanaan projek Hidroelektrik Baleh dan talian penghantaran Baleh-Mapai. – TVS