PUTRAJAYA, 25 April: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa pendedahan mengenai kes jenayah di Kelantan adalah berdasarkan data.
Katanya, kenyataan pihak polis mengenai kes jenayah seksual dan penyalahgunaan dadah di negeri itu adalah berdasarkan data semasa kes yang diperoleh.
“Kami mohon data daripada pihak polis sebelum kami mengeluarkan kenyataan.
“Sebab apa yang kami akan keluarkan adalah berdasarkan data yang sudah disiasat. Ada juga kes yang belum disiasat dan belum dimasukkan dalam data,” katanya kepada pemberita setelah menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM Bilangan 4 Tahun 2025 di Putrajaya, pada Jumaat.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas diminta mengulas kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan yang mempertikaikan pendedahan pihak polis berhubung peningkatan kes jenayah seksual dan penyalahgunaan dadah di Kelantan.
“Kadang-kadang kita mungkin tidak tahu, sebab itu bukan urusan harian kita. Maka, perlu mendapat data yang sahih daripada pihak polis.
“Mereka (pihak polis) menjalankan tugas, maka bekerjasamalah dengan mereka untuk mengetahui keadaan sebenarnya,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff mendedahkan bahawa kes rogol di negeri itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila wujud satu trend di mana kanak-kanak perempuan seawal usia 10 tahun mencari lelaki, termasuk yang berumur 11 tahun, untuk mengadakan hubungan intim.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan turut memaklumkan bahawa Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini dengan 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk. – TVS